Dimulai Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah (ke atas hamba-NYA di dunia), lagi Maha Penyayang (kepada hamba-NYA di negeri akhirat). Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad Sollallahu 'Alaihi Wassalam, sebaik-baik Murobbi dan Saiyyid bagi sekalian alam di dunia dan akhirat, semoga dilimpahkan rahmat dan kesejahteraan juga ke atas para ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta kepada seluruh Pewaris Baginda sehingga hari kiamat.
PENGENALAN RINGKAS
Pezikir; merupakan sebuah platform maya bagi menjalankan perniagaan batu permata, alat zikir dan produk terapi jasmaniah dan rohaniah secara umumnya.
Secara khususnya, blog ini berperan sebagai batu loncatan atau landasan bagi menyampaikan pencerahan berkaitan hal-ehwal mistik sebenar menurut pandangan para pengamal atau ahli zikir dan kajian ilmiah dari perspektif sufisme serta ilmu ihsan @ kasyaf Rabbani, sehingga dapat menyelami di sebalik simbol mistik yang sukar diterima secara akal rasional, namun realitinya tidak mustahil sekiranya membaca dari pandangan alam Islam khususnya berkaitan epistemologi ilmu dalam Islam.
Bagaimanapun, lebih penting lagi, pembaca perlu memiliki sikap tawadduk dan meniru resmi padi atau bertindak seperti gelas yang dikosongkan daripada ego.
Justeru itu, menelaah terjemahan pada setiap kajian di blog ini memang memerlukan pengetahuan terhadap disiplin dan istilah dalam tasawuf serta memiliki pandangan alam Islam serta kesedaran terhadap epistemologi atau teori ilmu dalam agama.
METODE UTAMA
"Riadah (latihan kerohanian) dan Mujahadah (berperang melawan dan menundukkan hawa nafsu yang mazmumah/keji) Melalui Kaedah Zikrullah" merupakan metode utama, dengan berpegang kepada nasihat melalui sabda Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam, "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Ketahuilah bahawa ia adalah hati". (Hadis Riwayat Bukhari dari Nu'man bin Basyir).
Melalui hadis di atas, fahamilah bahawa Qalbu @ hati adalah pusat utama dalam menuntut ilmu kerohanian dan juga portal yang menuju ke arah mencapai martabat ihsan, serta hal-ehwal batiniah.
Oleh yang demikian, Qalbu @ hati perlu di bersihkan dengan zikrullah (Tazkiyatun-nafs) sehingga mampu memadamkan titik-titik kegelapan (zulmah) dan menyembuhkan penyakit-penyakit hati (sifat-sifat mazmumah/keji) seperti ujub, riya', takbur dan sebagainya, kerana Qalbu atau hati merupakan salah satu organ yang penting di dalam badan manusia yang mana ia menjadi faktor utama baik atau rosaknya sesuatu jasad jasmani dan rohani seseorang itu.
Untuk mengetahui lebih lanjut dan memahami dengan lebih jelas berkenaan hati dan peranan zikrullah, sila ke laman sesawang berikut; https://muftins.gov.my/tareqat-tasauwuf/zikir-dan-peranannya-dalam-pembentukan-sakhsiah/
Selepas memahami dengan jelas tentang hal ini, maka akan jelas pulalah tentang kaedah, visi dan misi serta peranan Pezikir.blogspot.com.
VISI & MISI
1. Berdakwah kepada diri sendiri tentang Islam, Iman dan Ihsan.
Daripada Umar r.a. katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam, tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih kainnya, sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam, lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam dan meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua paha Nabi Sollallahu 'Alaihi Wassalam.
Kemudian dia berkata: Hai Nabi Muhammad! Khabarkanlah kepadaku dari hal Islam. Maka Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Dia berkata: Benarlah engkau! Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.
Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku dari hal Iman. Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah engkau!
Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku dari hal Ihsan. Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau.
Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang kiamat. Baginda bersabda: Orang yang di tanya tentang kiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.
Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).
Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai ‘Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.
(Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini meliputi semua amalan zahir dan batin dari urusan keimanan, pekerjaan anggota dan urusan hati. Segala ilmu syariat lahir daripada hadis ini. Jadi, hadis ini merangkumi kepada penjelasan agama seluruhnya.
2. Menundukkan hawa nafsu yang mazmumah/keji, di samping memperbaiki diri.
Tidak dinafikan bahawa melawan dan mengawal hawa nafsu adalah satu perkara yang besar dan sukar dilakukan. Ini kerana, ia memerlukan usaha yang tinggi bagi mengawal hawa nafsu tersebut agar tidak terjerumus ke lembah maksiat. Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengawal hawa nafsu ini adalah dengan sentiasa melakukan perkara-perkara kebaikan dan menguatkan hubungan dengan Allah Ta'ala, seperti yang dinyatakan di dalam al-Qur’an :
Firman Allah Ta'ala, “ Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya ”. (al-'Ankabut : 69)
3. Melahirkan generasi yang cintakan zikrullah serta meninggikan kalimah ALLAH.
Dari Abu Musa Al-Asy'ari -raḍiyallahu 'anhu- dia berkata, "Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam pernah di tanya mengenai seseorang yang berperang kerana keberanian, berperang kerana dendam dan berperang kerana riak, manakah di antara mereka yang berperang di jalan Allah?" Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wassalam menjawab, "Orang yang berperang agar kalimat Allah menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah." (Hadis sahih - Muttafaq 'alaih)
PENUTUP
"TUHANKU! ENGKAULAH TUJUANKU, DAN REDHO-MU MATLAMATKU"
Comments
Post a Comment